Subang Jaya: PROTON memperkenalkan PROTON S70 RS 2027 sebagai versi baharu sedan S70, dengan perubahan pada kemasan reka bentuk, kabin dan talaan prestasi.
Model itu menggunakan nama RS yang bermaksud 'Refined Sportiness' dan diletakkan sebagai kesinambungan kepada S70 sedia ada dalam pasaran sedan tempatan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, S70 RS meneruskan perkembangan model itu dengan memberi tumpuan kepada reka bentuk, prestasi dan pengalaman pemanduan.
"Pengenalan S70 RS adalah langkah seterusnya untuk model ini, dengan perubahan pada reka bentuk dan kabin serta mengekalkan prestasi enjin turbo yang menjadi antara ciri utama S70," katanya.
S70 RS menerima perubahan pada gril, bampar, skirt sisi, rim 17 inci dan kemasan belakang, manakala ruang kabin mendapat kemasan dua tona serta beberapa perubahan pada susun atur kawalan.
Daripada segi rangkaian kuasa, model itu mengekalkan enjin i-GT 1.5 liter turbo dengan transmisi tujuh kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT), dengan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam dalam 7.5 saat.
Pengenalan S70 RS dibuat ketika model itu terus menyumbang kepada jualan PROTON.
Pada Oktober lalu, rangkaian S70 merekodkan 5,367 unit jualan, terdiri daripada 2,338 unit S70 i-GT 1.5 Lite dan Prime serta 3,029 unit varian S70 lain.
Secara keseluruhan, S70 mencatat 26,076 unit jualan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, menunjukkan permintaan yang berterusan terhadap model sedan berkenaan.
PROTON akan memperkenalkan lebih banyak maklumat mengenai S70 RS menerusi acara 'line-off reveal' pada 10 November ini, sebelum pelancaran rasmi model berkenaan.
Acara itu turut menggabungkan pertunjukan fesyen dengan kerjasama pereka tempatan sebagai sebahagian daripada strategi pengenalan S70 RS kepada pasaran.
Maklumat lanjut termasuk spesifikasi, harga dan tarikh pelancaran rasmi S70 RS akan dimaklumkan PROTON pada masa akan datang.