Unjuran pelaburan negara suku kedua tahun ini dijangka terus catat pertumbuhan

HarianMetro Thu, Aug 06, 2026 06:29pm - 6 days View Original


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Persidangan KL20 2026 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Bukit Kiara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kuala Lumpur : Unjuran pelaburan negara bagi suku kedua tahun ini dijangka terus mencatat pertumbuhan, malah mengatasi pencapaian suku pertama yang merekodkan pelaburan berjumlah RM92.8 bilion meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jangkaan itu disokong prestasi eksport bagi separuh pertama tahun ini yang mencatatkan peningkatan melebihi 20 peratus, sekali gus menunjukkan aliran pelaburan negara terus berkembang dengan baik.

"Kalau kita lihat dari segi pencapaian, unjuran untuk suku kedua masih menunjukkan pertumbuhan malah mengatasi pertumbuhan berbanding suku pertama.

"Jangkaannya dari segi pelaburan itu memang masih berlaku. Kalau kita tengok, nilai eksport bagi separuh pertama tahun ini juga mencatatkan peningkatan yang kuat dan memberangsangkan, melebihi 20 peratus," katanya pada sidang media Pra-Pelancaran Persidangan KL20 2026 di sini, hari ini.

Persidangan KL20 2026 dijangka berlangsung dari September hingga November ini menerusi siri penganjuran di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Beralih daripada format berskala besar yang tertumpu di Kuala Lumpur pada edisi terdahulu, KL20 2026 dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation) yang lebih berfokus dan berorientasikan hasil.

Mengulas berkenaan pembangunan syarikat pemula, beliau berkata Malaysia kini berada di kedudukan antara 31 hingga 40 dunia dalam ekosistem syarikat pemula dan menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang 2030.

Jelasnya, sasaran itu bukan sekadar meningkatkan kedudukan negara dalam kedudukan dunia, sebaliknya membina ekosistem yang lebih kondusif supaya syarikat pemula mampu berkembang secara mampan.

"Bagi saya, sasaran itu bukan semata-mata mengenai ranking. Ranking adalah ukuran pencapaian, tetapi yang lebih penting ialah meletakkan ekosistem syarikat pemula sebagai satu kekuatan negara.

"Antara cabaran utama yang perlu diatasi ialah mewujudkan ekosistem yang benar-benar menyokong pertumbuhan syarikat pemula, termasuk membabitkan pelabur, penggunaan teknologi, pembiayaan, program serta dasar kerajaan," katanya.

Jelasnya, Malaysia juga meningkat ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026.

"Kemajuan ini memberikan kita momentum, tetapi ranking bukan ukuran akhir. Daya saing sebenar haruslah diterjemahkan kepada produktiviti yang lebih tinggi, syarikat Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global, inovasi yang lebih kukuh dan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.