KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum positif untuk ditutup lebih tinggi hari ini, disokong sentimen pelabur yang semakin baik susulan keyakinan bahawa konflik di Asia Barat semakin reda.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 15.51 mata kepada 1,748.17 berbanding 1,732.66 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.70 mata lebih tinggi pada 1,736.36 sebelum bergerak antara paras terendah 1,732.68 dan paras tertinggi 1,750.41 sepanjang sesi dagangan.
Prestasi pasaran secara menyeluruh turut positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 690 berbanding 487.
Sebanyak 587 kaunter tidak berubah, 968 tidak diniagakan dan 12 lagi digantung urus niaga.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.89 bilion unit bernilai RM3.80 bilion daripada 2.80 bilion unit bernilai RM2.81 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen pasaran bertukar lebih positif, disokong ketegangan geopolitik yang semakin reda, harga minyak mentah lebih rendah serta selera risiko global yang bertambah baik.
Beliau berkata, pembelian meluas dalam saham wajaran tinggi dan keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan dijangka terus menyokong pasaran tempatan.
"Walaupun aktiviti pengambilan untung secara berselang-seli mungkin berlaku selepas kenaikan pasaran baru-baru ini, sentimen keseluruhan pasaran kekal konstruktif.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,740 hingga 1,760 mata bagi baki minggu ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.82, manakala Tenaga Nasional menokok 16 sen kepada RM14.66.
Public Bank susut satu sen kepada RM5.27, CIMB Group turun dua sen kepada RM8.01, manakala IHH Healthcare merosot 11 sen kepada RM8.32.
Bagi saham aktif, Zetrix AI turun 4.5 sen kepada 69 sen dan EG Industries susut 10 sen kepada RM1.70.
Inari Amertron melonjak 20 sen kepada RM2.41, Genetec Technology meningkat 5.5 sen kepada 38 sen, manakala NationGate Holdings turun tujuh sen kepada RM1.36.
Antara kaunter untung utama ialah Nestle yang meningkat 70 sen kepada RM102.50, Pentamaster Corporation menokok 41 sen kepada RM5.70 dan United Plantations naik 36 sen kepada RM34.40.
Vitrox Corporation meningkat 35 sen kepada RM9.10, manakala YTL Power International menambah 29 sen kepada RM4.40.
Dalam senarai kaunter rugi, Fraser & Neave merosot 90 sen kepada RM26.92, Hong Leong Financial turun 18 sen kepada RM18.48 dan Petronas Dagangan susut 16 sen kepada RM19.54.
QL Resources dan Petronas Chemicals masing-masing turun 13 sen kepada RM4 dan RM4.52.